Sabtu, 6 September 2014

Safniza buktikan boleh berniaga dengan modal hanya RM300


Prihatin terhadap kesan kenaikan harga barang dan makanan, sepasang suami isteri mengambil inisiatif membuka gerai menjual nasi berlauk dengan harga serendah RM2.90 sebungkus berdekatan kediaman mereka di Kuala Ibai.

Safniza Yusoff, 44, berkata, pada mulanya idea menamakan Nasi Budget untuk nasi berlauk yang dijualnya itu dicetuskan suaminya, Mohamad Syafie Muda, 52, selepas melihat sebuah gerai sama yang menjual nasi dengan harga murah di Gong Badak.
“Sebenarnya, nasi berlauk dengan harga murah ini telah banyak dijual terutama jika berkunjung ke Kota Bharu, Kelantan.
“Di sini pun ramai juga yang jual nasi berlauk dengan harga murah kerana kita faham kehendak pelanggan terutama mereka yang bekerja dan pelajar,” katanya.
Menurut Safniza, kebanyakan pelanggan mereka dalam kalangan kakitangan awam dan swasta serta golongan pelajar.
“Kita faham mereka yang sibuk bekerja juga mahu berjimat kerana kedudukan ekonomi dan kos hidup yang tinggi masa kini,” katanya.
Katanya, dia dan suami membelanjakan hampir RM300 sebagai modal untuk membuka gerai Nasi Budgetnya yang baru beroperasi empat bulan sejak Mei lalu.
“Kami membelanjakan RM300 sebagai modal termasuk membeli peralatan menjual selain bahan mentah.
“Kami menetapkan harga RM2.90 bagi sebungkus nasi bersama lauk ayam, sayur timun, sambal belacan dan kuah kari,” katanya.
Katanya, sebelum musim perayaan dahulu, jam 1.30 petang gerainya sudah ditutup kerana nasi yang dijual sudah habis.
Kini selepas musim perayaan jualan agak perlahan, bagaimanapun mereka masih menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Safniza berkata, sebelum ini dia dan suami sahaja aktif menjual, kini dia mempunyai seorang pekerja untuk membantu menjual Nasi Budget itu.
“Saya pun tidak menang tangan untuk melayan pelanggan yang datang ramai dalam satu masa, sebab itulah ambil keputusan untuk mengambil pembantu.
“Dalam sehari, enam hingga tujuh ekor ayam dipotong 16 habis dijual. Biasanya saiz ayam untuk Nasi Budget ini agak kecil sedikit berbanding nasi berlauk yang dijual pada harga biasa,” katanya.-SINAR HARIAN

Sms/whatapps : 011 3939 1800
Twitter http://twitter.com/PerantauTrg
Youtube http://www.youtube.com/watch?v=ue1TCW-BK4c&feature=youtu.be
Facebook Group: http://www.facebook.com/groups/anakterengganudiperantauan/
Facebook http://www.facebook.com/anakterengganudiperantauan1

Cari Teman Online

Order Makan Online

Shop Online
 
Mobile Phone Store

Tiada ulasan:

Catat Ulasan